mutakhir

PKPS: Tidak perlu bimbang

Oleh Nabil Basaruddin

PEMBAYAR cukai yang menerima surat atau emel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak perlu bimbang, sebaliknya boleh menghubungi LHDN untuk penjelasan lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya mengeluarkan 8.3 juta surat dan emel kepada pembayar cukai berdaftar mengenai makluman PKPS yang dilaksanakan pada 3 November lalu sehingga 30 Jun depan.

Menurutnya, ia seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019 pada November tahun lalu.

Katanya, melalui program itu, pembayar cukai ditawarkan kadar penalti serendah 10 hingga 15 peratus ke atas jumlah cukai tambahan yang perlu dibayar.

“Ia merangkumi pembayar cukai berdaftar, tetapi gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) atau Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) secara teratur.

“Seterusnya adalah pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP, BNP atau BNCKHT, tetapi tidak membuat pengisytiharan cukai yang betul.

“Malah, ia juga termasuklah pembayar duti yang gagal membuat penyeteman suratcara dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pembayar cukai yang melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai yang sepatutnya kepada LHDN serta yang membuat penyeteman suratcara dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengabaikan surat atau emel pemakluman berkenaan.

“Pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh program ini akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada pihak LHDN.

“LHDN juga ingin menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program ini,” katanya.

Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dengan mengunjungi pejabat LHDN berhampiran atau menghubungi talian 1800-88-5436 atau 03-77136666 (luar negara) atau e-mel pertanyaan kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 8:12pm
d