mutakhir

Fokus hubungan polis dan masyarakat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Subang Jaya baharu, bermula hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari yang bertukar jawatan ke Penolong Pengarah MPV, Bahagian Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman (JPJKK).

Muhammad Azlin yang memegang jawatan itu selama dua tahun tiga bulan menyerahkan tugas selepas majlis serah tugas antara mereka disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Risikin turut mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Azlin kerana banyak memberi tunjuk ajar selama tiga bulan menjadi timbalannya.

“Saya dan seluruh pegawai serta anggota IPD Subang Jaya mengucapkan berbanyak terima kasih atas jasa dan baktinya.

“Saya yakin dapat menunaikan segala amanah dan tanggungjawab yang diberi serta bersedia menghadapi sebarang situasi yang mendatang,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Risikin berkata, dia kini memfokuskan hubungan polis dan masyarakat supaya lebih kekal bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis.

Beliau berkata, selain itu langkah pencegahan jenayah akan menjadi matlamat utamanya bagi membendung kegiatan jenayah.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 9:29pm
d