mutakhir

Bendera peribadi Agong berkibar di Istana Abdulaziz

Oleh Amin Ridzuan Ishak

BENDERA peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di istana Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abdulaziz di Kuantan tepat jam 12 tengah malam tadi.

Bendera itu dinaikkan pegawai dan dua anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10, Kuantan sambil diiringi lagu Negaraku yang dimainkan pancaragam dari Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur.

Terdahulu, tepat jam 11.45 malam bendera peribadi Sultan Pahang diturunkan oleh pegawai dan 13 anggota Provos TUDM Kuantan.

Sultan Abdullah akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur dengan disaksikan Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) seperti termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, istiadat memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdulaziz akan bermula jam 6.30 pagi ini.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Baginda kemudiannya berangkat ke Pangkalan Tentera Udara Kuantan pada jam 7 pagi dan dijangka disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ dan lagu Negaraku.

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das akan dilakukan ATM sebelum Ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman akan membacakan doa.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian akan menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi.

Setibanya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 pagi, baginda akan disambut oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datin Seri Norizam Che Mohd Nor dan barisan pegawai kanan kerajaan sebelum menaiki kenderaan menuju ke Dataran Parlimen kira-kira jam 8.50 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan baginda yang dijangka tiba di Dataran Parlimen kira-kira jam 9.30 pagi.

Tiupan nafiri akan mengiringi baginda menuju ke pentas diraja sambil diiringi Pasukan Pengawal Tombak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri pengiring.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ (lagu Negaraku dimainkan) oleh Pancaragam ATM, serentak itu bendera peribadi Yang Dipertuan Agong ‘dipecahkan’ (dari kedudukan berlipat di tiang kepada berkibar) di sebelah kanan pentas diraja dan tembakan meriam 21 das dimulakan.

Ketua Kawalan Kehormatan kemudian akan tampil menghadap memohon perkenan baginda memeriksa kawalan kehormatan utama, diikuti memberi perintah ‘kalih senjata’ untuk menukarkan senjata ke tangan kiri dan bersedia bagi bacaan doa yang akan disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selepas itu, baginda akan berangkat ke Istana Negara dengan menaiki kereta diraja pada jam 10 pagi untuk mengangkat sumpah.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 1:17am
d