mutakhir

Kapal karam, 12 kru selamat

Oleh Nurul Amanina Suhaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan 12 kru termasuk seorang warga tempatan yang terkandas susulan kapal dagang dinaiki hampir karam di perairan dua batu nautika timur Tanjung Penyusop, Kota Tinggi malam tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, dalam kejadian jam 9.15 malam itu, kapal dagang jenis Motor Tanker Sea Frontier yang berdaftar di Saint Kitts and Nevis di Kepulauan Caribbean, hampir tenggelam kira-kira 75 peratus.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, ketika dalam proses untuk bersauh kapal itu terkandas dan dipercayai melanggar batu di perairan itu, yang kemudiannya mengalami kebocoran sehingga dimasuki air.

“Ketika kejadian, kapal terbabit membawa 11 kru warga Indonesia dan Myanmar, manakala seorang lagi penumpang teknikal warga tempatan yang datang untuk membantu menjalankan pemantauan ujian jentera kapal terbabit.

“Bertindak atas maklumat, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru segera menghantar bantuan ke lokasi kejadian, selain turut mendapat kerjasama Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar berikutan kapal berkenaan membawa minyak Marine Gas Oil,” katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Pengerang Tanjung Pengelih hari ini.

Sanifah berkata, semua anak kapal berusia 23 hingga 55 tahun berjaya diselamatkan oleh kapal lain iaitu MT Formula One yang berada di lokasi kapal karam, selain vesel Maritim Malaysia dari Tanjung Sedili digerakkan bagi membawa mangsa ke darat.

Katanya, semua mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan selanjutnya.

“Kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia akan diteruskan bagi menanda lokasi kapal karam ini termasuk mengawal pencemaran jika terdapat tumpahan minyak.

“Pada ketika ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan keterangan daripada mangsa akan diambil selepas mereka semua berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 1:17pm
d