mutakhir

Al-Sultan Abdullah pemerintah dihormati

Oleh Amin Ridzuan Ishak

JAGA hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Itu menjadi pegangan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sekali gus menjadikannya pemerintah disayangi semua lapisan masyarakat di Pahang.

Baginda memegang nasihat tertulis dalam al-Quran itu sejak usia muda ketika dilantik Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 dan hasilnya dapat dilihat ketika ini apabila baginda sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan berdamping dengan rakyat ketika susah serta senang.

Pemimpin veteran tempatan, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman yang mengenali baginda sejak 40 tahun lalu berkata, Al-Sultan Abdullah sering meluangkan masa dengannya dan rakan-rakan lain ketika belum berkahwin yang antara aktiviti utama adalah mendengar ceramah agama di istana.

Katanya, baginda sudah lama menjemput mufti dan tokoh agama datang ke istana di Teluk Chempedak untuk memberi ceramah dan beliau serta beberapa rakan rapat lain turut dijemput mendengar untuk dijadikan panduan bersama-sama dalam kehidupan.

“Baginda sering memberi pelbagai nasihat kepada kami antaranya menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia...baginda berpegang kepadanya dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah sejak usia muda.

“Sebab itu, kita dapat lihat baginda menghormati serta menyayangi rakyat, sebab itu rakyat kembali menyayangi baginda kerana dapat merasai kasih sayang dicurahkan kepada mereka.

“Saya yakin Al-Sultan Abdullah mampu menjadi Yang Di-Pertuan Agong baik dengan sikap seperti ini dan fokus mensejahterakan kehidupan rakyat yang ditekankan baginda sejak sekian lama,” kata bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Fauzi juga berkongsi bagaimana Al-Sultan Abdullah sentiasa menekankan semua masyarakat adalah rakyatnya yang sentiasa memerlukan pembelaan dan tidak melihat kepada perbezaan kaum, warna kulit atau pegangan politik sekali pun.

“Ia sentiasa ditekankan baginda, paling penting adalah kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan rakyat perlu dijaga.

“Saya teringat pada satu majlis berbuka puasa beberapa tahun lalu apabila baginda meminta saya sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang ketika itu bergambar dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dari UMNO serta Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS bergambar bersama.

“Baginda mahu melihat kami bersatu menjaga rakyat walaupun mempunyai pegangan idealogi politik berbeza, kami mengajak baginda bergambar bersama tetapi baginda menolaknya kerana tidak mahu mencampuri urusan politik,” katanya.

Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan juga dikatakan tidak gemar mencampuri sebarang urusan agensi kerajaan dalam membuat keputusan.

Beberapa individu yang rapat dengan Al-Sultan Abdullah berkata, baginda tidak pernah memberi surat sokongan kepada mana-mana individu dalam mendapatkan projek sebaliknya menyerahkan agensi terbabit membuat keputusan dengan mempertimbangkan kelayakan pemohon.

Al Sultan Abdullah juga ada kalanya merujuk kepada laporan media terutama berkaitan masalah rakyat dan mahu agensi tertentu segera menghulurkan bantuan sekali gus menyelesaikannya.

Selain itu, baginda juga murka apabila ada pihak sanggup melanggar undang-undang untuk mengurniakan hadiah kepada baginda seperti haiwan mempunyai permit, dilindungi atau hanya boleh ditangkap pada musim tertentu saja.

Sikap kasih sayang terhadap rakyat itu kadang kala menyebabkan Al-Sultan Abdullah meletakkan kepentingan rakyat di tempat pertama berbanding diri baginda terlebih dulu apabila berlakunya sebarang kejadian tidak diingini berlaku di negeri itu.

Pernah diceritakan Al-Sultan Abdullah tiba lewat ke sambutan hari jadi ahli keluarganya kerana baginda terlebih dulu melawat lokasi kejadian lemas di Kuantan untuk mengetahui perkembangan pencarian mangsa.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 2:12pm
d