mutakhir

Suami didakwa membunuh, isteri pula dituduh cederakan suami

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein dan Adnan Ibrahim

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang, hari ini, atas tuduhan membunuh pengamal perubatan tradisional manakala isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana mencederakan suaminya itu, dua minggu lalu.

Di Mahkamah Majistret, Shahdan Serah, 47, didakwa membunuh Muhammad Farhan Raswan, 26, di sebuah rumah di Taman Kiaramas 2 antara jam 8.50 pagi hingga 10.30 pagi, 17 Januari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Arun Naval Dass dan tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, tertuduh berdepan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Azfahanim Rajaluddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan dibenarkan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Mac nanti.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, Nazatul Ema Mohd Ibrahim, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan bahagian belakang badan Shahdan menggunakan sebilah keris.

Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shaarmini Arjunan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim K Rajeswari tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dalam satu kenyataan media hari ini mengklasifikasikan kes bunuh diri seorang pengamal perubatan tradisional di Taman Kiaramas 2 pada 17 Januari lalu sebagai kes bunuh.

Ia berikutan hasil bedah siasat, siasatan dan soal siasat mendapati kematian mangsa berusia 26 tahun itu adalah meragukan kerana terdapat beberapa kesan jenayah terhadapnya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 2:23pm
d