mutakhir

Semoga Allah membalas jasa kalian

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ALHAMDULILLAH, banyak sumbangan diterima daripada orang ramai membantu kami sekeluarga sejak kisah kami disiarkan semalam. Sumbangan ini dapat membantu membayar yuran sekolah empat anak saya,” kata Norsiah Ishak, 41.

Norsiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menghubunginya untuk membantu permohonan anaknya, Muhammad Adrian Mikael Zainuddin, lapan bulan, mendapatkan bantuan bulanan serta kad orang kurang upaya (OKU).

Dia berkata, sejak kisah anak bongsu dari tujuh beradik yang menghidap jantung berlubang dan sindrom down itu disiarkan dalam portal Harian Metro semalam, ramai yang menghubunginya untuk membantu.

Katanya, dengan wang sumbangan orang ramai itulah digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur serta ‘walker’ untuk Muhammad Adrian kerana dia kini makin lasak.

“Cuma sekarang keadaan kesihatannya tidak menentu dan badannya kerap panas manakala bawah matanya pula bengkak.

“Saya akan membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, hari ini, untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana bimbangkan keadaannya makin teruk disebabkan sudah tiga bulan tidak membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kejai, Kuala Nerang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan untuk keluarga itu hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut membantu menguruskan permohonan JKM untuk Muhammad Adrian Mikael.

Harian Metro semalam melaporkan seorang ibu tidak dapat membawa anak bongsunya yang menghidap jantung berlubang dan sindrom down menjalani rawatan di hospital sejak tiga bulan lalu disebabkan kesempitan wang.

Malah yuran peperiksaan anak kembarnya yang akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) setiap seorang RM210 dan seorang lagi anaknya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebanyak RM230 tidak dapat dijelaskan disebabkan pendapatan suaminya hanya RM700 sebulan.

Berita berkaitan

Bantulah keluarga ini

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 3:25pm
d