mutakhir

Mi segera punya pasal...

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

ANAK lelaki menerima balasan apabila dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini selepas mengaku salah mengugut mahu mencederakan ibunya hanya kerana tidak dapat makan mi segera.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Shaiful Hazran Razali selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Shairul Hazran didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Faridah Ngah, 58, dengan mengugut mahu mencederakan mangsa di sebuah rumah di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai jam 12.30 tengah hari 21 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang baru bangun tidur meminta mangsa yang ketika itu berehat memasak mi segera untuknya.

Bagaimanapun, mangsa memaklumkan bekalan makanan segera itu sudah habis menyebabkan tertuduh tiba-tiba naik angin sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.

Tertuduh yang gagal mengawal nafsu marahnya mengugut mahu mencederakan mangsa dengan menumbuknya.

Mangsa yang ketakutan dan bimbang keselamatan dirinya membuat laporan polis.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 3:43pm
d