mutakhir

Dua beradik nafi mencuri

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

DUA beradik perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan termasuk jubah dan tudung bernilai hampir RM1,000 di sebuah pasar raya di bandar raya ini, Ahad lalu.

Tertuduh, Nor Aziefah Zulkifli, 23, dan adiknya, Nurul Amira Zulkifli, 21, dari Besut, didakwa mencuri 12 helai tudung, empat helai jubah, dua unit beg duit, lapan unit cermin mata dan empat unit kerongsang keseluruhannya bernilai RM833.10.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pasar raya di bandar raya ini pada 12.30 tengah malam 27 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik perempuan yang tinggal di Hulu Besut sanggup menempuh perjalanan lebih 100 kilometer dengan menaiki bas ke Kuala Terengganu, semata-mata untuk mencuri.

Bagaimanapun, tindakan mereka dikesan pengawal keselamatan sebelum mereka diserahkan kepada polis pada 12.30 tengah malam.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 4:42pm
d