mutakhir

Bekas tentera diarah bela diri [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEORANG bekas tentera diarah membela diri di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini bagi dua pertuduhan sebagai orang tengah yang menawarkan aktiviti persundalan di Taman AST pada 20 Januari tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah memerintahkan Muhammad Nizam Aripen, 37 membela diri pada 1 dan 2 April ini apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Keputusan itu dibuat untuk tertuduh memberi keterangan secara bersumpah selain mengambil keterangan empat saksi.

Tertuduh yang juga bekas anggota tentera di Port Dickson didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban pada 20 Januari lalu selepas didapati menawarkan aktiviti persundalan terhadap dua wanita.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Nizam didakwa sebagai orang tengah yang menawarkan aktiviti itu terhadap seorang gadis 21 tahun di sebuah hotel bernombor 118, Taman AST Seremban, jam 12.05 tengah malam pada 20 Januari tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menawarkan aktiviti sama terhadap seorang lagi gadis berusia 24 tahun di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 15 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam, M Haresh dan Aida Shafinaz Zainuddin.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 5:11pm
d