mutakhir

KESAS, LDP, SMART beri diskaun tol

Oleh Amir Abd Hamid

SEMPENA sambutan Tahun Baru Cina, Kumpulan Gamuda mengumumkan diskaun tol kepada pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).

Ia membabitkan diskaun sebanyak 70 sen di LDP dan 20 sen di KESAS untuk kenderaan kelas satu, manakala diskaun 30 sen diberikan kepada pengguna kelas satu dan empat SMART bermula jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam 5 Februari ini.

Ketua Pegawai Kewangan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) Stephen Low berkata, pemberian diskaun tol di tiga lebuh raya berkenaan membabitkan anggaran 452,200 pengguna.

“Kita menganggarkan hampir RM222,000 subsidi tol kepada pengguna lebuh raya LDP, KESAS dan SMART sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.

“Lebuh raya di bawah Kumpulan Gamuda juga sentiasa memberi diskaun tol dan lain-lain inisiatif semasa perayaan utama di negara ini.

“Sejak 2010 hingga tahun ini, LITRAK contohnya sudah membelanjakan hampir RM21.2 juta untuk program kebajikan dan hubungan komuniti setempat termasuk pemberian diskaun tol serta penawaran rebat istimewa bagi pengguna kerap LDP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman pemberian diskaun tol sempena Tahun Baru Cina, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi KESAS, Mohammed Shah Samin dan Ketua Pegawai Operasi SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman.

Terdahulu, tiga syarikat konsesi lebuh raya terbabit menganjurkan program amal membabitkan 57 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Charis dan Rumah Victory, Kuala Lumpur.

“Bagi menyahut seruan kerajaan di mana mahu pihak korporat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat, syarikat konsesi di bawah Kumpulan Gamuda ini sentiasa mengadakan majlis seumpama ini.

“Hari ini (semalam) program amal sempena Tahun Baru Cina ini berlangsung dengan jayanya termasuk pemberiaan ang pau kepada kanak-kanak dan sumbangan untuk rumah kebajikan bagi mengurangkan beban kos operasi mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 5:38pm
d