mutakhir

Sorok bawah kabin kontena

Oleh Nur Saliawati Salberi

TAKUT dicekup polis selepas mengganggu bekas teman wanitanya, lelaki bertindak menyorok di bawah kabin kontena, kira-kira sejam sebelum dia menyerah diri dalam kejadian di Taman MITC Prima, Melaka hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh terpaksa memujuk lelaki berkenaan supaya keluar.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan berjumpa dengan bekas teman wanitanya dan berlaku perselisihan faham di tadika tempat wanita itu bekerja.

Beliau berkata, suspek dikatakan membuat bising dan menjerit di hadapan tadika berkenaan kerana didakwa tidak berpuas hati dengan wanita berusia 27 tahun itu yang menyekat nombor telefon bimbitnya.

“Bimbang perkara tidak diingini berlaku kerana keadaan tidak terkawal, kawan wanita berkenaan kemudian menghubungi polis.

“Bagaimanapun sebaik melihat kehadiran polis, suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum menyorok di bawah kabin kontena,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234),” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Zul Akhman Othman berkata, sepasukan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian.

“Sejurus tiba anggota mendapati seorang lelaki menyorok di bawah kabin itu yang agak sempit dan hanya mempunyai ruang setinggi tujuh sentimeter.

“Proses memujuknya sukar kerana ruangan sempit dan gelap, sebelum dia keluar menyerah diri,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 6:38pm
d