mutakhir

Pistol lawan cangkul

Oleh BERNAMA

ANGGOTA anggota polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan dalam usaha mempertahankan diri ketika diserang oleh tiga lelaki dengan menggunakan cangkul di sebuah bengkel kereta berhampiran Balai Polis Taib Andak, Kulai, kira-kira 30 kilometer dari Johor Bahru, semalam.

Dalam kejadian jam 3.18 petang itu, anggota polis tersebut diserang oleh kumpulan lelaki berkenaan ketika berada di bengkel dengan seorang suspek bertindak memecahkan kereta milik mangsa dengan cangkul.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeo berkata selepas melepaskan tembakan amaran, anggota berkenaan, yang masih bertugas, berlari ke balai polis tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari bengkel berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata kesemua suspek, yang juga penduduk kampung berdekatan, bertindak sedemikian kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota polis itu melaporkan kegiatan jenayah mereka di kawasan kampung.

“Ketiga-ketiga suspek berkenaan berusia antara 25 dan 57 tahun itu, berjaya ditahan sejam selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan samun serta berada di bawah pengaruh dadah ketika bertindak menyerang anggota polis berkenaan.

“Ujian air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata polis merampas sebatang cangkul yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 8:28pm
d