mutakhir

Rasuah: Sarjan polis kena penjara, denda

Oleh BERNAMA

SEORANG sarjan polis dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah memperoleh rasuah berjumlah RM1,000 daripada seorang suspek kes dadah, tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Sahrir Suardin, 31, serta berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, yang ketika kejadian, bertugas sebagai sarjan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai RM1,000 daripada seorang suspek kes dadah.

Ia sebagai dorongan untuk menukar seksyen kes kesalahan dadah itu kepada yang lebih ringan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Wangsa Maju, pada 8.55 malam 18 Ogos 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, ​​​​​​​Nor Diana Nor Azwa manakala, Sahrir diwakili peguam Shahrullah Khan.

Terdahulu, Shahrullah memohon hukuman ringan untuk anak guamnya kerana perbuatan itu sudah menjadi pengajaran kepada tertuduh.

“Bukan sahaja akan menerima hukuman, tetapi anak guam saya akan kehilangan kerja, gaji, ganjaran dan banyak lagi sebagai penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Nor Diana memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya serta masyarakat khususnya, penjawat awam.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 8:44pm
d