mutakhir

Pengurus kanan PASDEC dicekup SPRM

Oleh Amin Ridzuan Ishak

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang pengurus kanan kewangan PASDEC Holdings Sdn Bhd yang dipercayai terbabit dalam kes pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM320,000.

Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Fauzi Husin berkata, lelaki yang berusia 50 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Pahang di Kuantan kira-kira jam 4 petang hari ini susulan siasatan dilakukan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, suspek disyaki melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang diterima daripada kerja-kerja tanah milik PASDEC Holdings antara Ogos 2014 hingga Mac 2016 berjumlah RM320,000 yang dimasukkan ke akaunnya tanpa pengetahuan dan kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat itu serta melanggar had kuasa ditetapkan.

“Pada awalnya, siasatan mendapati suspek disyaki menerima wang rasuah sebagai balasan memudahkan urusan berkaitan dengan kerja-kerja mengambil dan mengeluarkan tanah di kawasan milik PASDEC Holdings.

“Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati beliau disyaki melakukan kesalahan pecah amanah membabitkan wang yang diterimanya.

“Suspek dijangka dituduh di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 8:46pm
d