mutakhir

Jangan risau, bahan mentah cukup

Oleh Rosli Ilham

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi jaminan bekalan barangan dan bahan mentah sempena Tahun Baharu Cina mencukupi.

Selain itu, sebanyak 12 barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Terengganu yang berlangsung bermula 30 Januari hingga 8 Februari 2019.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saharudin Mohd Kia berkata, pengguna tidak perlu risau mengenai bekalan barangan dan bahan mentah sepanjang musim perayaan itu.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan, bekalan mencukupi termasuk 12 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga itu.

“Negeri ini tidak berdepan masalah barangan terutama 12 barangan disenaraikan seperti ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

“Ia termasuk telur ayam gred A,B,C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar, khinzir hidup, daging khinzir (perut) dan (daging/lemak),” katanya ketika pelancaran skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baharu Cina 2019 peringkat negeri di Dungun, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai KPDNHEP Dungun, Mohamad Hashim.

Saharudin berkata, pihaknya memberi amaran kepada peniaga supaya tidak melanggar syarat dan peraturan ditetapkan kerana tindakan tegas boleh dikenakan ke atas mereka.

Beliau berkata, peniaga gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti.

“Individu yang bersalah boleh didenda sehingga RM 100,000 dan dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya serta syarikat boleh didenda sehingga RM 500,000 jika menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum.

“Seramai 112 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau di seluruh negeri ini dikerah mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan pemantau harga.

“Tindakan dan kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap peniaga/premis sempena musim perayaan 2018 menunjukkan penurunan iaitu hanya 53 kes jika dibandingkan 72 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 9:09pm
d