mutakhir

Syukur, anakku selamat...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEORANG kanak-kanak lelaki diselamatkan polis selepas dilarikan seorang lelaki di Taman Rasah Jaya, Seremban, jam 11.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihak polis dihubungi seorang wanita berusia 36 tahun memaklumkan anaknya dilarikan lelaki yang baru dikenalinya dengan menaiki kereta Perodua Kancil.

Katanya, sebelum itu mangsa memaklumkan dia dan anak berusia empat tahun berada di sebuah premis.

“Bertindak atas laporan diterima, polis memburu suspek berkenaan dan berjaya mengesannya di kawasan Bukit Mantin, Seremban.

“Berikutan itu, suspek berusia 31 tahun ditahan bersama seorang wanita berusia 40 tahun dalam kenderaan berkenaan.

“Pihak polis berjaya menyelamatkan semula kanak-kanak berkenaan jam 2.20 petang tadi (semalam), dan dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata demikian apabila laporan polis berhubung kejadian itu menjadi tular di aplikasi WhatsApp, semalam.

Menurut Thiew, saringan ujian air kencing ke atas suspek lelaki itu mendapati dia positif dadah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung motif kanak-kanak itu dilarikan sama ada diupah, dendam atau perkara lain.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, esok (hari ini) bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 12:03am
d