mutakhir

Permohonan ditolak [METROTV]

Oleh Norrasyidah Arshad

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, semalam menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dan 50 penganut Hindu kuil itu untuk menjadi pihak dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak jawatankuasa kuil yang diwakili peguam M Visvanathan dan R Karna dan peguam Siti Zabedah Kassim yang mewakili kumpulan penganut itu dalam prosiding di hadapannya, semalam.

Ketika membaca keputusannya, Rofiah berkata, permohonan itu ditolak selepas melihat kedua-dua pihak tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah dalam prosiding terbabit.

“Mahkamah tidak boleh keluar daripada sempadan dan perimeter prosiding inkues ini mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah iaitu, mengetahui bila Muhammad Adib meninggal dunia, di mana beliau meninggal dunia, bagaimana beliau meninggal dunia, dalam apa cara beliau meninggal dunia.

“Berdasarkan perkara ini, identiti dan peranan kedua-dua pihak ini tersasar daripada terma rujukan prosiding inkues ini.

“Kedua-dua pihak ini tidak mempunyai kepentingan yang real, substantive dan reasonable untuk mahkamah benarkan mereka terbabit dalam prosiding inkues,” katanya.

Terdahulu, Rofiah membenarkan Majlis Peguam yang diwakili Roger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei selain peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Mansoor Saat, untuk menjadi peguam pemerhati sepanjang prosiding inkues berkenaan berjalan.

Beliau juga memerintahkan sebarang semakan terhadap keputusannya itu difailkan sebelum 11 Februari ini apabila prosiding inkues itu bermula, selepas dimaklum oleh Siti Zabedah dalam prosiding sama.

Dalam prosiding semalam, Rofiah turut memerintahkan enam saksi profesional terdiri daripada doktor dan pakar forensik yang merawat serta melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib serta pegawai penyiasat akan memberikan keterangan secara lisan dan bukannya bertulis seperti diputuskannya 18 Januari lalu.

“Ini berikutan arahan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin, atas alasan ia tidak sesuai bagi prosiding ini,” katanya.

Sementara itu, Siti Zabedah yang ditemui di luar mahkamah, berkata, pihaknya dan pihak jawatankuasa kuil akan mengemukakan permohonan semakan terhadap keputusan ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, Rofiah memutuskan hanya pihak berkepentingan iaitu peguam bagi ahli keluarga dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) boleh mengemukakan soalan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 8:48am
    d