mutakhir

'Doktor' kasut

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: “Walaupun kotor dan busuk, itu rezeki saya,” kata tukang kasut Safril Sikumbang, 65, menawarkan perkhidmatan itu di Jalan Parameswara, Banda Hilir, di sini, sejak 2011.

Warga emas itu berkata, sudah 40 tahun dia membaiki kasut yang diibaratkan sudah sebati dengan jiwanya.

Berikutan itu, dia tidak terfikir mahu mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Lebih mesra dengan panggilan Ujang, Safril boleh diibaratkan sebagai doktor atau pakar membaiki kasut sehingga hasil tangannya kelihatan seperti baharu, malah tetap selesa dipakai.

Dengan modal awal RM200 untuk memulakan perniagaan klinik kasut, dia kini selesa dengan pendapatan yang memuaskan bagi menampung keperluan diri.

“Sememangnya kasut digunakan dalam urusan seharian termasuk memijak tanah dan lumpur. Namun, saya tidak geli dengan pekerjaan ini, sebaliknya ikhlas dan memberikan perkhidmatan.

“Pastinya, saya gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan saya berikan, termasuk warga tempatan dan asing,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Ujang berkata, ada juga pelanggan membayar lebih daripada upah ditetapkan.

“Contoh upah cuma RM5 tapi ada pelanggan pernah bayar saya sampai RM50. Mungkin mereka (pelanggan) berpuas hati atau simpati dengan kerja yang dilakukan oleh saya,” katanya.

Ujang berkata, dia memulakan pekerjaan itu di Kuala Lumpur dan kembali ke Melaka sekitar 2011 serta berpindah ke Melaka Baru, tiga tahun lalu.

“Saya kini selesa di lokasi sekarang walaupun sekadar menyewa di kaki lima, ramai pelancong yang singgah untuk ‘memulihkan’ kasut mereka.

“Malah, lokasi membaiki kasut berhampiran hotel menyebabkan saya begitu popular dalam kalangan pelancong asing,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 9:21am
d