mutakhir

Swafoto terakhir

Oleh Khalid Latip

“RASA pelik bila arwah meminta nombor telefon saya sedangkan dia memang ada menyimpannya,” kata Awang Mohd Khairol Hakimi Awang Sudin, 25, rakan karib Norhaliszam Bongsu, 33, yang rentung dalam nahas di Jalan Bulat, Sarikei, petang semalam.

Hakimi berkata, Allahyarham juga bersungguh-sungguh mahu berswafoto ketika mereka keluar bersama menunggang motosikal berkuasa tinggi kira-kira dua jam sebelum kejadian berlaku.

“Ia seolah-olah menjadi petanda kejadian akan berlaku, namun ketika itu saya tidak perasan kerana arwah memang kelihatan ceria seperti biasa.

“Saya bertanya mengapa begitu beriya-iya meminta nombor telefon saya sedangkan kami sudah lama berkawan. Arwah cuma menjawab manalah tahu kalau ada apa-apa berlaku,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Hakimi berkata, dia bersama beberapa rakan lain menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi menjelajah Borneo dan sedang dalam perjalanan ke Sabah.

Mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya meneruskan perjalanan sebelum singgah dan bermalam di Bandaraya Miri.

“Selepas mengisi minyak di Jakar (di Sarikei), arwah meneruskan perjalanan dan memang saya tidak menyangka itulah detik terakhir saya melihatnya,” katanya.

Katanya, dia mengenali Allahyarham sejak dua tahun lalu, malah sering menyertai program konvoi bermotosikal bersama.

“Saya anggap arwah macam abang saya sendiri. Dia baik hati dan suka menolong rakan dalam kesusahan, terutama ketika kami berkonvoi,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.20 petang semalam, mangsa rentung selepas terbabit nahas dengan sebuah bas.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Awang Alfian Awang Bujang berkata, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan selepas memotong sebuah lori lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan kenderaan awam itu.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal motosikal untuk mengelak bas sebelum bertembung lalu terperosok di bawah kenderaan itu.

“Bas yang dipandu lelaki berusia 54 tahun turut membawa seorang konduktor tiket dan empat penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Berita berkaitan

Rentung bawah bas

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 9:34am
d