mutakhir

Tong ada, tuan 'hilang'...

Oleh Recqueal Raimi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan cubaan membawa keluar 210 liter petrol tanpa permit dalam pemeriksaan di jeti di Kudat, semalam.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, semua petrol yang disimpan dalam tujuh tong itu ditemui di tepi jeti, manakala pemiliknya disyaki melarikan diri sebaik menyedari kelibat anggota penguat kuasa KPDNHEP Kudat.

Ketua KPDNHEP Kudat, Muntahar Asmarah berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap semua kapal, feri dan bot yang menggunakan laluan perairan laut dari daerah ini ke Pulau Banggi di jeti berkenaan.

“Tiga anggota penguat kuasa KPDNHEP menemui tujuh tong berisi petrol yang diletakkan di tepi jeti sementara menunggu penumpang menaiki bot menuju ke Pulau Banggi.

“Penumpang bot ketika disoal, tidak mengenali pemilik tong berkenaan dan disyaki melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Muntahar berkata, tujuh tong berisi 210 liter minyak itu disita dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sehubungan itu, dinasihatkan kepada pengusaha bot, feri atau kapal supaya tidak membenarkan penumpang membawa barang kawalan tanpa permit kerana ia adalah satu kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 11:07am
d