mutakhir

Sekolah daif perlu maklum PPD [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

SEKOLAH daif dan bermasalah di seluruh negara perlu memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) segera bagi membolehkan Kementerian Pendidikan mencari penyelesaian.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, makluman itu penting bagi membolehkan kementeriannya mencari jalan penyelesaian termasuk menyalurkan peruntukan atau kemudahan.

"Berkaitan kes sebuah sekolah rendah di Kapit, Sarawak yang video muridnya menampal pintu kelas dengan kotak tular di media sosial, kementerian sudah mengambil maklum dan tindakan sedang diambil.

"Kementerian juga sedang menunggu laporan penuh PPD di sana mengenai kerosakan di sekolah berkenaan sebelum bantuan disalurkan.

"Jika sekolah lain turut berdepan masalah terutama membabitkan infrastruktur dan peralatan, sekolah perlu segera memaklumkan kepada PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) harus mengambil maklum segera dan memaklumkan kementerian bagi bantuan disalurkan," katanya. selepas program edaran buah limau di Pasar Jumaat Simpang Renggam, hari ini.

Pada program itu, Maszlee mengagihkan kira-kira 40 kotak limau mandarin kepada pengunjung serta peniaga Pasar Jumaat selain beramah-mesra dengan mereka.

Semalam, video dua murid sebuah sekolah rendah di Kapit terpaksa menampal pintu kelas yang berlubang dan reput dengan kotak tular di media sosial.

Video itu dikongsi ribuan pengguna media sosial yang turut mengkritik Kementerian Pendidikan yang didakwa lambat bertindak.

Ditanya kritikan pengguna media sosial, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak itu.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dan kementerian akan melakukan yang terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 12:07pm
d