mutakhir

Hanya seorang pesalah juvana ditahan mengikut POCA

Oleh BERNAMA

HANYA seorang individu bawah umur yang masih ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana terbabit dengan kegiatan jenayah kekerasan iaitu rompakan bersenjata.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pesalah juvana itu sedang menjalani tahanan selama dua tahun di tempat tahanan berasingan daripada dewasa di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor.

Beliau mengulas gesaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak dan juvana yang ditahan di bawah POCA kerana akta itu banyak memberi kesan trauma kepada golongan muda itu.

“Saya terkejut dengan pendedahan itu, jadi saya segera memanggil menteri dan (pegawai) kementerian yang bertanggungjawab… polis (PDRM) memaklumkan kepada kami sebenarnya tinggal hanya seorang sahaja di bawah POCA sehingga 30 Januari,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengagihkan kotak limau Mandarin kepada penduduk setempat di Pasar Taman Muda dan Pasar Pagi Pandan Perdana, Kuala Lumpur.

Ketika ditanya sama ada mereka di bawah umur yang ditahan mengikut akta itu wajar dibebaskan, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak polis dan kementerian yang berkaitan.

Mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri, seramai 27 orang tahanan bawah umur masih lagi menjalani perintah sekatan (pengawasan polis di luar penjara) selama dua tahun berikutan terbabit dengan kongsi gelap, rompakan berkumpulan, curi motosikal, samun dan kesalahan lain.

Mengenai peranti pemantauan elektronik (EMD) yang dipasang pada kaki tahanan bawah umur, beliau berkata, hanya mereka yang diluluskan dan ditapis oleh Lembaga Pencegahan Jenayah kerana terbabit jenayah berat dipasang peranti itu.

Dr Wan Azizah, bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah tahanan bawah umur yang dipasang EMD, namun perbincangan akan dijalankan bersama Menteri Dalam Negeri untuk mengkaji lebih mendalam sistem penahanan pesalah kanak-kanak dan juvana.

“Walaupun pesalah bawah umur tidak ditahan bersama tahanan dewasa, namun kita mungkin boleh lihat kembali untuk pastikan mereka tidak disama dan disatukan langsung dalam persekitaran bersama mereka yang disabitkan kesalahan, orang yang kena tahan dan orang yang kena tuduh,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah sebarang perbincangan dibuat mengenai bakal calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, beliau berkata, “Belum lagi... kita hanya bincang cara umum.”

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 2:10pm
d