mutakhir

Pantau keselamatan pelajar di Midwest

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Pendidikan menerusi Education Malaysia Chicago di Amerika Syarikat akan terus memantau kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di sekitar Midwest melalui persatuan pelajar Malaysia susulan fenomena Vorteks Kutub atau cuaca sejuk melampau.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, kementerian berkata, Education Malaysia Chicago akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan pelajar supaya sentiasa berada di kawasan selamat dan tertutup sepanjang tempoh cuaca sejuk melampau ini.

Menurutnya, keadaan cuaca sejuk melampau yang jarang berlaku di Midwest berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa.

“Education Malaysia Chicago turut mengesahkan semua pelajar Malaysia di sekitar Midwest selamat,” katanya.

Fenomena Vorteks Kutub membawa angin sejuk melampau menyebabkan suhu menurun sehingga -53 darjah Celcius.

Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang terkena ‘frost bite’ jika terdedah di tempat terbuka selama 10 minit.

Pihak berkuasa di Illinois sudah mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Kebanyakan syarikat dan premis perniagaan juga mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah, selain banyak sekolah dan institusi pendidikan ditutup.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 4:02pm
d