mutakhir

Dibunuh kerana salah faham?

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI dipercayai mangsa bunuh sebelum rangkanya ditemui di kawasan semak berhampiran kilang di Jelapang, Ipoh, kelmarin pernah membuat laporan polis memaklumkan dia diganggu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mangsa berusia 46 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur pada Februari 2018 mendakwa diganggu individu akibat perselisihan faham.

Katanya, selain laporan itu, polis juga sedang menyiasat motif lelaki berkenaan yang berasal dari Rawang, Selangor berada di Perak dan mengesan individu yang membawanya.

“Maklumat terbaharu diterima daripada waris mangsa yang menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), mangsa akhir-akhir ini dikatakan mengalami masalah mental dan dalam rawatan.

“Kita perlukan masa kerana kes ini perlu penelitian daripada banyak aspek dan mengenalpasti individu yang terbabit dengan pembunuhan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Harian Metro melaporkan, rangka lelaki dikenali sebagai Wan Izani Mustaffa, 46, ditemui lengkap berpakaian pada 11 pagi sebelum pemeriksaan menemui lesen memandu dan kad pengenalannya dalam saku pakaiannya.

Turut ditemui pisau pemotong sayur berukuran 20 sentimeter dengan kesan darah berhampiran rangka itu dan kesan tikaman di bahagian hadapan perut kiri.

Sementara itu, bagi kes penemuan mayat pemancing, Muhammad Azizul Roslan, 24, di lombong dekat Kawasan Perindustrian Kanthan Baru 1, Kanthan Baru, Chemor, 24 Januari lalu, Yahya berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek.

“Kita percaya kematiannya bermotifkan samun dan berdasarkan keterangan keluarga, mangsa mahir berenang namun terdapat kemungkinan dia dipukul sebelum dicampak ke lombong itu,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa dipercayai dibunuh...

Mayat reput ditemui dalam semak [METROTV]

[UPDATE] Dua waris beri sampel DNA

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 6:21pm
d