mutakhir

Penyamun kucing diburu!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS memburu tiga lelaki yang melakukan samun dan melarikan dua kucing di sebuah kedai peliharaan dan jualan haiwan di Taman Melawati, Ampang Jaya, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Zaid Hassan berkata, ketika kejadian, ada tiga pekerja sedang bertugas sebelum tiga lelaki bersenjatakan parang masuk ke dalam premis berkenaan pada 6.50 petang.

“Mangsa yang panik dan ketakutan terus meluru masuk bersembunyi di bilik bahagian belakang pejabat premis berkenaan. Lima minit kemudian mangsa bersama rakan sekerja keluar dari bilik berkenaan dan mendapati tiga suspek sudah beredar.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati wang tunai dalam mesin juruwang dan dua kucing dilarikan penjenayah berkenaan. Tiada kecederaan dialami pekerja terbabit.

“Mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Melawati pada jam 7.50 malam, hari yang sama. Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM5,500," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu mengenal pasti identiti suspek serta kenderaan yang digunakan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dua kucing masing-masing baka British Short Hair dan baka Parsi dilarikan sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang yang turut menyamun wang tunai di kedai peliharaan dan jualan haiwan berkenaan.

Kejadian itu menjadi tular selepas dua rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden samun dan curi di kedai berkenaan dimuat naik di media sosial, sejak semalam.

Berita berkaitan

  • Penyamun curi 2 kucing, larikan wang
  • Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 7:32pm
    d