mutakhir

Permaisuri Kelong juara dayung wanita

Oleh Siti Rohana Idris

PERLUMBAAN perahu biasanya didominasi peserta lelaki, namun kelainan ditampilkan dalam pertandingan anjuran penduduk Kampung Kelong, Tumpat hari ini.

Mereka membuka penyertaan kepada peserta wanita untuk berentap dalam kalangan 19 pasukan di Sungai Kampung Pak Jah, Tumpat.

Antara pasukan itu adalah Permaisuri Kelong yang dianggotai enam wanita bergelar surirumah, peniaga dan ibu.

Wakil kumpulan itu, Zainun Shafie, 52, berkata, mereka sudah berlatih mendayung perahu sejak seminggu lalu sebelum menyertai pertandingan, malah latihan itu berbaloi apabila memenangi kategori wanita.

“Kami mewakili wanita Kampung Kelong dan sudah biasa sangat mengemudi perahu dan bot.

“Rata-rata daripada kami pun ke sungai untuk menangkap ikan, malah saya sendiri kerap mengikut ayah dan mengemudi bot,” katanya yang bercuti daripada mengambil upah membungkus nasi lemak.

Dalam pada itu, wakil penganjur, Zamri Shafie, 42, berkata, pertandingan itu terbuka kepada tiga kategori iaitu lelaki, wanita dan veteran yang berusia 60 tahun ke atas.

“Ia sudah beberapa kali dianjurkan sebagai acara keraian untuk penduduk Kampung Pak Jah dan Kelong tetapi kali ini kita buka juga kepada penduduk kampung lain sekitar Tumpat.

“Malah, peserta wanita juga diberi peluang untuk turut serta dengan setiap pasukan membabitkan tujuh orang termasuk simpanan,” katanya yang memberitahu acara itu mendapat kerjasama sebuah kilang memproses keropok yang menyediakan hadiah wang tunai.

Peserta perlu berlumba sejauh 200 meter dan acara diiringi muzik tradisional yang dimainkan sekumpulan pemuzik di tebing sungai.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 7:34pm
d