mutakhir

Lebih 1,000 orang ditahan dalam operasi dadah

Oleh BERNAMA

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka menahan 1,032 orang menerusi 210 operasi di negeri itu dari Januari hingga Disember lalu dalam usaha memerangi dadah.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah itu, 845 orang didapati positif dadah dalam saringan urin awal namun selepas ujian patologi dilakukan, jumlah itu berkurang kepada 645 orang.

“Kita sudah menjalankan tiga jenis operasi sepanjang tahun lalu iaitu 161 operasi cegah, operasi sarang (38 kali) dan operasi perdana (11 kali).

“Mereka yang ditahan didapati positif dadah dan berusia antara 20-an hingga 70-an selain kebanyakan mereka adalah lelaki.​​​​​

“Lapan kawasan utama diberi tumpuan khusus dalam inisiatif ‘Perangi Dadah Habis-Habisan’ di negeri ini sejak dilancarkan pada 2016 di Tanjung Kling,” katanya selepas Pelancaran Op Selamat dan Penyampaian Sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Melaka Sentral hari ini.

Turut hadir Pengarah AADK Melaka Mohamad Yusof Kameh.

Sementara itu, Chee Leong berkata, 65 pemandu bas ekspres dan domestik yang beroperasi di terminal pengangkutan Melaka Sentral sudah menjalani ujian saringan urin dalam Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina dari 29 Januari lalu hingga hari ini dan mereka didapati negatif dadah.

Beliau berkata, operasi yang berakhir 12 Februari itu membabitkan masing-masing enam anggota AADK dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari jam 7 pagi hingga 11 malam.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 9:38pm
d