mutakhir

Kantoi bawa motosikal curi

Oleh Rosli Ilham

DIBELI hanya RM300 dan RM500, itulah harga dua motosikal curi dimiliki warga asing yang dapat dikesan polis pada Op Lejang di Dungun, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam sekatan jalan raya di Ladang Pinang Mas, seorang warga Thailand ditahan kerana memiliki motosikal Honda EX5 yang dipercayai dicuri.

Menurutnya, sebuah lagi motosikal Modenas Kriss yang dicuri pula dikesan apabila seorang warga Indonesia ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Paka.

Katanya, motosikal Honda EX5 dilaporkan hilang pada 2011, manakala Modenas Kriss pula tahun lalu.

“Mereka mendakwa membeli motosikal itu dengan harga yang murah, masing-masing RM300 dan RM500 sahaja.

“Kedua-dua warga asing itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki motosikal curi.

“Warga Thailand itu juga akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1963 kerana pasport tamat tempoh,” katanya.

Mengenai operasi itu, Baharudin berkata, ia bermula 7 pagi membabitkan 42 anggota dengan tujuh pegawai dengan bantuan 115 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, ketika operasi berlangsung, pihaknya turut merampas lima motosikal berikutan nombor casis dan enjin meragukan.

“Sepanjang operasi ini, kami memeriksa 517 motosikal dan operasi bertumpu kepada penunggang motosikal, bengkel motosikal serta kawasan ladang sekitar Dungun.

“Sebanyak 19 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 10:06pm
d