mutakhir

44 PATI ditahan tinggal lebih masa, tiada dokumen

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di flat Flora Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, 61 warga asing turut diperiksa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, operasi bermula 7 malam, susulan aduan diterima pihaknya mengenai lambakan warga asing dan peningkatan kes jenayah di situ.

“Kami melakukan pemeriksaan di keseluruhan blok flat berkenaan dengan kekuatan 14 pegawai serta 114 anggota penguat kuasa.

“Daripada 61 warga asing yang diperiksa, 44 PATI termasuk 10 wanita berusia 20-an ke 50-an ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah dan tinggal lebih masa.

“Mereka terdiri daripada warganegara Indonesia (25); Nigeria (8); Bangladesh (4); India (3); Pakistan (1); Yaman (1); Nepal (1) dan Iran (1),” katanya pada sidang media di Balai Polis Damansara, hari ini.

Ku Mashariman berkata, daripada itu, dua lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 40-an turut melakukan kesalahan memiliki rokok tanpa cukai dan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, semua tahanan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1958/63.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 12:43am
d