mutakhir

Diserbu asyik berjudi

Oleh Norizuan Shamsuddin

KEASYIKAN sekumpulan kaki judi melakukan pertaruhan sempena Tahun Baru Cina membawa padah apabila diserbu sepasukan polis menerusi Op Limau di Batu 14, Puchong, Subang Jaya, malam tadi.

Dalam serbuan bermula 12.30 tengah malam itu, polis menahan 28 termasuk lima wanita individu disyaki pemain judi dan merampas wang tunai RM98,885 digunakan untuk pertaruhan.

Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, serbuan dilakukan hasil kerjasama pihaknya bersama pasukan D7 Bukit Aman.

Katanya, menerusi operasi itu seramai tujuh pegawai dan 13 anggota dikerahkan melakukan serbuan susulan maklumat diperolehi berhubung kegiatan judi dalam bangunan di lokasi berkenaan.

“Hasil serbuan polis menahan 23 lelaki dan lima wanita serta merampas wang tunai RM95,490 daripada mereka.

“Polis turut merampas meja mahjong, 32 Domino Stick, dua dadu, empat kerusi dan meja serta wang tunai disyaki digunakan untuk pertaruhan yang berada di meja mahjong sebanyak RM3,395.

“Semua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 9:59am
d