mutakhir

Sara anak hasil jual kotak terpakai

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“SAYA dan anak-anak ibarat hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang... tiada sebarang persiapan saya mampu lakukan untuk menyambut Tahun Baharu Cina,” kata Lee Ah Hai.

Ah Hai, 59, berkata, sejak kematian suaminya pada 2002 akibat kemalangan langgar lari, dia menyara anak-anaknya dengan mencari kotak terpakai di sekitar Pekan Tunjang, di Jitra.

Katanya, hasil jualan kotak kira-kira RM80 seminggu, dia hanya mampu membeli barang keperluan dan barang dapur untuk mereka anak-anak beranak.

“Kami hidup cukup-cukup makanan sahaja, saya tak mampu untuk hias rumah atau membeli perabot, kami hanya tidur di lantai beralaskan tilam nipis.

“Rumah saya dipenuhi kotak terpakai, saya tak buat sebarang persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Belakang Sekolah Cina, Pekan Tunjang di sini, semalam.

Bagaimanapun, kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih bermakna buat ibu tunggal kepada dua orang anak orang kurang upaya (OKU) itu berikutan rumahnya yang serba daif sebelum ini dinaik taraf hasil tanggungjawab sosial korporat Syarikat E-Idaman dan Kelab Media Elite Kedah (KMEK).

Menerusi Program Sentuhan Kasih itu, kakitangan E-Idaman dan ahli KMEK bergotong royong membersihkan perkarangan rumah keluarga berkenaan sejak Selasa lalu, yang dipenuhi semak samun.

Sementara itu, Ketua Pengurus dan Perancangan Operasi E-Idaman, Ahmad Zikry Badrin berkata, hasil kerjasama itu, anak beranak Ah Hai turut dibelikan katil dan tilam baharu supaya mereka dapat tidur dengan selesa.

“Malah sebuah syarikat kontraktor turut menaja pendawaian elektrik baharu di dalam rumah berkenaan yang dilihat sangat lama dan berisiko berlakunya litar pintas.

“E-Idaman turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga ini dan diharapkan bantuan itu dapat meringankan beban mereka untuk membeli kelengkapan menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 10:56am
d