mutakhir

Jam matahari penduduk Kampung Peringgit

Oleh Nazri Abu Bakar

USIA jam matahari digunakan penduduk di Kampung Peringgit, Melaka sudah cecah lebih 100 tahun, namun masih utuh serta bermanfaat untuk menentukan masa seperti zaman dahulu.

Alat pengukur masa itu terletak di pekarangan masjid kampung berkenaan dan menjadi tumpuan penduduk serta jemaah luar yang hadir untuk bersolat.

Penduduk kampung, Ramli Daud, 73, berkata, meskipun zaman sudah moden dan tidak sukar untuk mengetahui masa, jam matahari tetap menjadi pilihan terutama dalam menentukan waktu solat.

Katanya, jam itu memudahkan penduduk yang mengukur pergerakan masa berdasarkan bayang yang terhasil pada permukaan.

“Zaman dahulu tiada jam moden untuk dirujuk bagi mengetahui waktu solat, jadi dibina jam matahari ini sebagai rujukan.

“Permukaannya yang rata dengan tanda penyukatan serta terdapat tiang kecil di tengah-tengahnya, membolehkan bayang matahari terbit untuk sukatan masa sebenar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Warga emas itu berkata, selain menentukan waktu solat, jam matahari turut menjadi penentu jadual aktiviti penduduk seperti bersawah, menoreh getah dan bergotong royong.

Akuinya, ia hanya berfungsi pada siang hari sahaja.

Keterangan gambar

Pix1 - Jam matahari masih gah di masjid Peringgit - Nazri Abu Bakar

Pix2 - Ahli jamaah masjid Peringgit kagum dengan jam matahari namun ianya tidak dapat menentukan masa pada waktu malam - Nazri Abu Bakar

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 5:40pm
d