mutakhir

[UPDATE] Sambut anak pulang bercuti

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SENYUMAN gembira menerima berita anak lelakinya yang ingin pulang bercuti bertukar episod duka apabila suami isteri maut dalam kemalangan di Jalan Alor Setar - Kangar, Sanglang, Kangar hari ini.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Ibrahim Mustafa, 60, dan isterinya, Zaiton Salleh, 60, maut manakala dua anaknya, Mohd Noor Iman Ibrahim, 22, serta Nur Ayu Diana cedera dan dirawat di Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, Ibrahim gembira memaklumkan kepada ahli keluarga Mohd Noor Iman yang bertugas sebagai anggota tentera di Jalan Kementah, Kuala Lumpur pulang bercuti semalam.

“Anak lelakinya memaklumkan kepada bapanya dia dijangka tiba di rumah rakan askarnya di Gurun, Kedah jam 2 pagi dan meminta mengambilnya di sana.

“Arwah yang ketika itu berada di rumah saudaranya di Alor Setar memberitahu saudaranya mahu pulang ke rumah di Kuala Perlis terlebih dulu untuk menjemput isteri dan anak perempuannya sebelum bertolak ke Gurun.

“Mereka sekeluarga bertolak ke sana dan ketika pulang, Mohd Noor Iman yang memandu namun kira-kira jam 4 pagi kami menerima panggilan telefon keluarga arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah di sini.

Menurutnya, Ibrahim dan isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan melainkan perasaan gembira mengetahui anak mereka pulang.

“Saudara lain ada menasihati Ibrahim supaya berehat saja di rumah saudaranya di Alor Setar dan tidak perlu pulang ke Kuala Perlis sebelum bertolak ke Gurun kerana khuatir dia kepenatan kerana terpaksa berulang alik.

“Namun dia tetap ingin menjemput isterinya dan sudah takdir mereka meninggal bersama dalam kemalangan itu dan kami reda,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wai petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kemalangan terbabit.

“Pemeriksaan awal mendapati kereta yang dipandu anak lelaki mangsa terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Sanglang jam 4 pagi.

“Pasangan terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Suami isteri maut kereta terbabas

ِ‎

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 5:56pm
d