mutakhir

Najib turun, Ringgit naik?

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, mata wang Ringgit bukan saja memulih berbanding Dolar Amerika Syarikat, malah semua mata wang lain termasuk Dolar Singapura dan Baht Thailand sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, keadaan sebaliknya berlaku selepas PRU-14 apabila Ringgit menurun berbanding semua mata wang dan perkara itu perlu diakui oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bukan hanya menyalahkan dirinya saja.

“Sebelum PRU-14: Ringgit turun kerana Najib. PH panggil Rakyat turunkan Najib. Najib pun turun. Selepas PRU-14: Ringgit turun kerana Trump (Donald Trump). Bukan salah PH.

“Dengan ini, rakyat mesti bersedia. Rakyat mungkin dipanggil untuk turunkan Trump pada bila-bila masa,” katanya dalam catatan terbaru di Facebooknya, hari ini.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, sebenarnya semua mata wang menerima kesan daripada turun naik Dolar Amerika dan bukan hanya Ringgit.

“Ada benarnya jika Dolar Amerika mengukuh maka Ringgit akan turun berbanding Dolar Amerika. Dolar naik, Ringgit turun. Ringgit naik, Dolar turun. Ini bukan susah nak faham.

“Pada 2015, Dolar Amerika mengukuh dengan kadar paling pantas dalam 40 tahun yang lalu. Ya, Dolar Amerika kukuh pada kadar paling tinggi dalam 40 tahun.

“Tetapi pada 2015 itu juga, PH mengeluarkan kata-kata emas ‘Najib turun, Ringgit naik’. Masa itu, PH kata salah Najib, bukan salah Obama pulak. Jelas PH sudah memfitnah saya masa itu,” katanya lagi.

Menurut Najib, diakui bahawa Ringgit mengukuh sedikit apabila Dolar mengalami kelemahan bulan lalu, namun masih jauh berbeza dengan kadar sebelum PRU-14.

“Begitu juga nilai Baht Thailand yang turut menerima kesan dari kelemahan Dolar Amerika baru-baru ini. Isu pokoknya ialah Ringgit menurun berbanding Thai Baht sehingga tahap paling rendah dalam sejarah. Takkan hanya Ringgit menerima kesan daripada Dolar Amerika tetapi Baht tidak?” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 8:09pm
d