mutakhir

Tak tau pula nombor 'plat' palsu...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI yang ditahan dalam sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di hadapan Hospital Lama Alor Setar, Alor Setar, malam ini terkejut apabila dimaklumkan motosikalnya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Lelaki berusia 30-an itu mendakwa baru membeli motosikal itu daripada pihak lain dan anak saudaranya sering menggunakan motosikal itu untuk bergerak ke mana-mana.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut pada cukai jalan motosikal itu mendapati nombor pendaftarannya berlainan daripada nombor berkenaan menyebabkan anggota penguat kuasa JPJ melakukan pemeriksaan lanjut bersama anggota polis.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, hasil semakan mendapati nombor motosikal itu adalah palsu dan didaftarkan atas sebuah lagi motosikal Honda EX5 milik seorang lelaki di Baling.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya menyita motosikal terbabit untuk tindakan lanjut, manakala lelaki itu dibebaskan selepas diambil keterangan untuk tindakan lanjut di mahkamah.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang media di lokasi operasi Ops Motosikal Sempena Tahun Baru Cina, Alor Setar, malam ini.

Operasi membabitkan 101 anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam operasi bermula jam 8 malam tadi, sebanyak 359 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 310 buah motosikal melakukan pelbagai kesalahan.

“Majoriti kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen memandu sah, lesen tamat tempoh, tidak menampal lesen P dan dua kes menunggang di bawah umur.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 12 buah motosikal disita dalam operasi malam ini dan operasi ini bukan saja dilakukan malam ini malah ia bermula sejak 29 Januari lalu,” katanya.

Ismasuhaimi berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya menahan dua remaja berusia 15 tahun kerana menunggang motosikal tanpa lesen dan seorang daripadanya berasal dari Pendang ditahan kerana terdapat buku lima dalam motosikalnya.

Beliau berkata, selain itu, enam penunggang dan pembonceng motosikal berusia 17 hingga 43 tahun ditahan AADK kerana ujian saringan awal air kencing terhadap mereka didapati positif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 12:09am
d