mutakhir

Kantoi seludup keluar tong gas LPG

Oleh Abdul Rahemang Taiming

TAKTIK lelaki warga Indonesia menyembunyikan 11 tong gas cecair petroleum (LPG) di ruang belakang pacuan empat roda, gagal apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan parkir Pasar Ikan Tawau, Tawau, semalam.

Lelaki berusia 45 tahun ditahan Unit Risikan Marin (URM) PPM Tawau yang menjalankan intipan dan risikan di kawasan berkenaan antara 8 hingga 11 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tong gas LPG itu disembunyikan di bahagian belakang dan ruang tempat duduk penumpang kenderaan jenis Toyota Hilux bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu membawa muatan sebanyak 11 tong gas LPG disyaki cuba diseludup keluar dan pasarkan di negara jiran Indonesia.

“Suspek kemudiannya ditahan selepas gagal menunjukkan permit atau surat Pembelian Barang Kawalan Berjadual dari pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan tong gas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua barang rampasan termasuk kenderaan yang digunakan suspek turut disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM61,760.

“Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1967,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 9:45am
d