mutakhir

Penerbangan ihsan buat ibu keguguran

Oleh Ramli Ibrahim

WANITA Orang Asli yang keguguran kandungan anak pertama terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) menggunakan penerbangan ihsan, semalam.

Foja Angak, 18, dari Pos Dakoh, dibawa ke hospital dengan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 3.29 petang.

Bapanya, Ismak Anjang, 39, berkata, anaknya itu sudah dua hari keguguran dan sukar dihantar ke hospital kerana masalah hubungan jalan balak rosak teruk.

Katanya, lebih membimbangkan anaknya kehilangan banyak darah sehingga terpaksa mendapatkan khidmat JBPM untuk menghantarnya ke hospital dengan helikopter.

“Saya kemudian maklumkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada petang hari pertama keguguran bagi mendapat bantuan.

“Kami terpaksa tunggu hingga petang ini (semalam) untuk menghantar anak ke hospital dan terima kasih kepada Unit Udara JBPM menyelamatkan Foja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan untuk mengambil pesakit itu terpaksa dilakukan dua kali berikutan cuaca buruk.

“Kali pertama kami cuba untuk mendarat di Pos Dakoh 1.48 tengah hari, namun gagal kerana hujan lebat dan cuaca buruk.

“Penerbangan berkenaan tertangguh sehingga 2.50 petang selepas keadaan cuaca semakin baik dan kita berjaya mengambil pesakit itu dan mendarat di Padang Pusat Sivik 3.29 petang sebelum dikejarkan ke HGM dengan ambulans disediakan JBPM,” katanya.

Katanya, penerbangan ihsan menggunakan krew Mi-17-IV itu diketuai Juruterbang Penguasa Kanan Bomba 1, Sofian Ahmed dibantu penolong juruterbang,Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Sulaiman.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 10:28am
d