mutakhir

[UPDATE] Bayi sihat

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

BAYI lelaki masih bertali pusat yang ditemui ditinggalkan di dalam kotak di hadapan Surau Nur Iman, Kampung Pinang Seberang, Kamunting, Taiping semalam berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan dan Perundangan) Perak, Superintendan Datin Seri Halimahton Ahmad berkata, polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan ibu bapa bayi itu.

“Bayi dalam keadaan sihat dan tiada kecederaan ditemui pada badannya.

“Sekarang (bayi) berada di Unit NICU (wad penjagaan intensif untuk bayi) di Hospital Taiping dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 4.35 petang semalam, bayi yang baru dilahirkan itu ditemui dalam kotak dengan badannya dibaluti kain dan ditinggalkan di depan surau berkenaan.

Bayi itu ditemui anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan dan dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid dalam kenyataannya semalam berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

Berita berkaitan

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 12:03pm
d