mutakhir

Penduduk kesal dengan si 'gatal tangan'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENDUDUK Kampung Pasir, Rasah, di Seremban kesal dengan perbuatan vandalisme apabila papan tanda di penempatan itu dan kemudahan awam disembur cat hitam pada 25 Januari lalu.

Penduduk, mahu dikenali Veerapan, 40, berkata, beberapa dinding kediaman, papan tanda kuil, peti elektrik dan pondok taman permainan disembur cat oleh individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, kejadian disedari penduduk 8 pagi menyebabkan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pada 26 Januari lalu.

“Kami sangat kecewa dengan insiden itu dan berharap individu terbabit dapat dicekup. Pihak polis digesa meningkatkan rondaan bagi kesejahteraan bersama,” katanya membuat aduan kepada Harian Metro, di Seremban, hari ini.

Menurut Veerapan, kejadian itu pertama kali berlaku apabila individu berkenaan membuat semburan cat dengan simbol 21.

“Setahu saya, beberapa lelaki sering melepak di hujung kampung setiap malam. Selain duduk berbual, mereka meneguk alkohol hingga mabuk antara 1 hingga 3 pagi,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian, penduduk terpaksa bergotong-royong membersihkan semburan cat pada premis.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak yang dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, suspek masih diburu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 12:51pm
d