mutakhir

Pemandu terselamat

Oleh Faliq Lajim

UMUR masih panjang buat seorang lelaki apabila hanya patah kaki kiri selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori di Jalan Meru Tambahan, Klang semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa berusia 30-an yang memandu Toyota Vios merempuh bahagian belakang sebuah lori seberat 10 tan yang dalam perjalanan dari Setia Alam menuju ke Ijok.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku di simpang empat Jalan Meru Tambahan apabila pemandu lori itu memberhentikan kenderaannya berikutan lampu isyarat merah.

Menurutnya, tidak lama selepas itu kereta dari arah belakang gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh lori terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk di bahagian depan itu sebelum dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar,” katanya.

Nurulhuda berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan pemandu lori terbabit sudah membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan.

“Mangsa masih dirawat dan belum membuat laporan polis, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 2:37pm
d