mutakhir

Syak ada unsur khianat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“SEBELUM ini memang ada isu berhubung tapak yang disewa kira-kira 140 peniaga di Uptown Puchong Permai, (sebab itu) kami kumpulan peniaga syak kebakaran mempunyai unsur khianat,” kata Zamal Hassan, 44.

Dia mendakwa tapak terbabit dipercayai sengaja dibakar individu tidak bertanggungjawab.

“Kalau tengok ketika api mula terbakar dari sebuah gerai bukan berpunca dari litar pintas kerana ketika itu pasar ini tidak beroperasi.

“Sebarang bentuk peralatan elektrik juga tidak digunakan ketika kebakaran berlaku,” katanya ketika ditemui.

Zamal berkata, dalam kebakaran berkenaan dia kerugian RM80,000 selepas barang perniagaan berupa permainan kanak-kanak musnah.

“Saya reda dengan apa yang terjadi namun meminta pihak berkuasa supaya dapat memberikan tapak baru kepada peniaga yang terkesan akibat kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Uptown Puchong Permai, Abdul Rahim Shah, 59, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum dihubungi ketua kampung mengatakan pasar berkenaan terbakar.

“Saya terkejut dan terus ke lokasi sebelum melihat api marak ketika itu. Segala peralatan dan barang perniagaan saya juga hangus dijilat api.

“Semua peniaga di sini membayar sewa kepada syarikat yang menguruskan operasi uptown dengan harga RM500 bagi setiap tapak,” katanya.

Peniaga haiwan peliharaan, Nik Amran Nik Ibrahim ,51 berkata dia kerugian kira-kira RM15,000 selepas gerai jualannya hangus terbakar.

“Kebiasaannya saya meninggalkan haiwan seperti kucing dan beberapa haiwan lain di gerai namun pada malam sebelum kejadian saya membawa pulang ke rumah.

“Peralatan seperti sangkar dan makanan kucing juga turut musnah dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 200 unit premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Uptown Puchong Permai, jam 7.45 pagi semalam.

Kebakaran tidak membabitkan mangsa namun menyebabkan kerugian kira-kira RM1 juta selepas barang perniagaan milik 140 peniaga musnah terbakar.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 3:31pm
d