mutakhir

Bahana 'curi' hasil laut negara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG tekong warga Vietnam dihukum denda RM700,000, manakala 16 awak-awaknya didenda RM70,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana menangkap hasil laut di perairan negara.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Tertuduh, Nguyen Van Suu, 34, turut berdepan hukuman penjara tiga tahun dan awak-awak berusia antara 20 hingga 45 tahun boleh dipenjara dua tahun sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menangkap ikan menggunakan peralatan ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah yang dikeluarkan Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesalahan didakwa dilakukan di atas vesel penangkapan ikan pada jarak 61.3 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada 3.35 petang, 15 Julai 2018.

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta 317 yang dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan Seksyen 52 (1)(a)(ii) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan semua barang kes iaitu sebuah kapal penangkapan ikan, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan diesel yang semuanya cecah RM1 juta dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Faizal & Co, Faizal Marzuki.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 5:07pm
d