mutakhir

Nafi herdik nelayan Melaka

Oleh Hassan Omar

JABATAN Perikanan Negeri Sembilan menafikan dakwaan mengatakan ada pegawainya memarahi dan mengherdik nelayan tempatan.

Pengarahnya, Halimi Abu Hanip berkata, siasatan dibuat jabatannya mendapati memang ada pegawai dan kakitangan melakukan rondaan di perairan Pasir Panjang, Port Dickson yang menghampiri beberapa perahu gentian kaca milik nelayan dari Kuala Linggi, minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, tidak berlaku situasi yang didakwa kononnya pegawai dan kakitangan jabatan itu memarahi nelayan terbabit.

Katanya, ia cuma rondaan rutin dan pegawai itu mendapati beberapa nelayan dari Kuala Linggi menangkap ikan di perairan Negeri Sembilan.

“Mereka cuma menasihati nelayan supaya tidak memasuki perairan negeri ini pada masa depan.

“Tidak ada pegawai yang mengherdik, apatah lagi mengasari mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Halimi berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nelayan (JPN) Kuala Linggi, Azmi Buyaman, kononnya enam nelayan yang menangkap ikan di perairan Kuala Linggi dalam wilayah Melaka dimarahi pegawai jabatan terbabit sedangkan pukat nelayan terbabit hanyut hingga memasuki perairan Pasir Panjang, Port Dickson, dalam kejadian minggu lalu.

Sehubungan itu, Azmi meminta Jabatan Perikanan Negeri Sembilan supaya lebih berdiplomasi dalam menangani hal nelayan dari Melaka yang beroperasi di perairan negeri itu tanpa disengajakan.

“Kami faham peraturan dalam lesen menangkap ikan. Pada masa yang sama berharap pegawai itu lebih bertimbang rasa kerana kami menangkap ikan di sempadan perairan kedua-dua negeri,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Kuala Linggi, di sini.

Nelayan, Ibrahim Dollah, 72, mendakwa dia diberi amaran pegawai terbabit ketika sedang menarik pukat udang dalam kejadian kira-kira 11 pagi, 24 Januari lalu.

“Saya tidak sedar sudah memasuki perairan Pasir Panjang kerana asyik menarik jaring dan menanggalkan udang yang terlekat pada jaring,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 8:55pm
d