mutakhir

Lelaki hilang ditemui selamat

Oleh Recqueal Raimi

LELAKI yang dilaporkan hilang di bukit Kampung Kuala Abai, Kota Belud ditemui selamat, 5 petang, semalam.

Difahamkan, Saidin Tarazim, 62, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya kira-kira 10 pagi semalam ketika pergi bersenam dan dipercayai tidak dapat kembali ke rumah kerana tersesat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.32 petang dan enam anggota segera dikejar ke lokasi bersama sebuah jentera.

Katanya, operasi mencari mangsa dijalankan dengan bantuan empat anggota Pasukan Bomba Bantuan, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta beberapa penduduk kampung.

"Pasukan bomba berjaya menemui mangsa pada jam 5 petang tanpa mengalami sebarang kecederaan namun dalam keadaan yang lemah dan letih.

"Mangsa yang ditemui di kaki bukit di kawasan bakau, kemudiannya dipapah ke kawasan lapang di bukit untuk diberi rawatan awal sebelum dipapah semula sehingga ke kawasan jeti di kampung terbabit," katanya kepada NSTP.

Rozlan berkata, mangsa pada awalnya mahu dibawa ke hospital Kota Belud namun mangsa menolak berikutan kecederaaan yang dialaminya tidak terlalu serius sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

"Operasi ditamatkan pada 5.05 petang," katanya.

Photo: Recqueal Raimi

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:26am
d