mutakhir

Tanah runtuh hempap dapur

Oleh Khalid Latip

SERAMAI 20 keluarga yang mendiami Rumah Panjang Baking Guang, Kanowit cemas selepas berlaku tanah runtuh di lereng bukit di belakang kediaman mereka, malam tadi.

Difahamkan, gelongsoran tanah bermula kira-kira 6 petang semalam, namun keadaan bertambah serius menjelang 7.30 malam.

Malah, sebahagian tanah dari kawasan lereng bukit turut meranapkan tiga ruangan dapur di rumah panjang 14 pintu itu.

Bagaimanapun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik ketika dihubungi mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Katanya, sebahagian besar penghuni meninggalkan kediaman masing-masing apabila gelongsoran tanah bermula lewat petang semalam.

“Kita menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu, 7.34 malam tadi. Namun, disebabkan keadaan gelap dan jalan becak, pergerakan ke lokasi terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.

“Kita hanya dapat menggerakkan anggota untuk menyalurkan bantuan pagi ini, selain melakukan operasi pemantauan di lokasi kejadian,” katanya.

Arrahman berkata, punca sebenar masih disiasat, namun beliau tidak menolak kemungkinan hujan lebat antara faktor penyebab struktur tanah di lereng bukit berkenaan tidak stabil.

“Menurut laporan daripada penghuni rumah itu, insiden itutidak membabitkansebarang kemalangan jiwa atau kecederaan. Ia hanya menjejaskan tiga buah dapur rumah panjang berkenaan,” katanya.

Keseluruhannya, umah panjang yang terletak di Skim Gempuru Nanga Jarau itu didiami 88 penghuni.

“Kita menasihati penghuninya beredar dari rumah jika hujan berterusan dan keadaan tidak terkawal. Kita akan menyelaras pergerakan anggota ke lokasi jika keadaan semakin mendesak,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:35am
d