mutakhir

Dadah dalam kotak rokok

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

TAKTIK penagih dadah menyembunyikan tujuh paket plastik lut sinar mengandungi syabu di dalam kotak rokok gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia diberkas polis di tepi Jalan Kampung Padang Gertak, Pulau Tiga, Kampung Gajah semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, lelaki berusia 33 tahun dari kampung berdekatan itu cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan polis namun dia berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua anggota yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan suspek yang sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota namun dia berjaya ditahan sebelum pemeriksaan pada tubuh badan suspek menjumpai sekotak rokok.

“Pemeriksaan di dalam kotak rokok itu menemui tujuh paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 5.27 gram,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif methampetamin dan suspek yang tidak bekerja turut mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes dadah.

Menurutnya, nilai rampasan dadah itu dianggarkan RM800 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB1952.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata, pihaknya turut menahan lelaki berusia 34 tahun dan merampas 24.65 gram dadah dipercayai heroin di dalam sebuah beg dibawanya di lokasi sama 20 minit sebelum itu.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan RM700 dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain turut mempunyai rekod lampau membabitkan dadah.

Katanya, suspek yang juga penganggur ditahan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB1952.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 12:39pm
d