mutakhir

Kantoi memandu tanpa lesen

Oleh Iskandar Shah Mohamed

TINDAKAN 31 individu memandu tanpa lesen sah memakan diri apabila dikenakan tindakan dalam Ops Selamat 14 di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting, Banting kelmarin.

Lebih membimbangkan apabila mereka rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 16 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen.

Perkara itu dikesan menerusi sekatan jalan raya dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, bermula jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 115 individu dan mengeluarkan 98 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Sepanjang tiga jam operasi itu, 110 kenderaan diperiksa iaitu motosikal (55), kereta (42), kenderaan pelbagai guna (MPV) (7) dan pacuan empat roda (6).

“Pelbagai kesalahan dikesan antaranya memotong barisan, melanggar lampu isyarat, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.

“Berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan, kesalahan tidak memiliki lesen memandu mencatat jumlah tertinggi iaitu 31 kes,” katanya hari ini.

Azizan berkata, memandu tanpa lesen satu kesalahan serius yang bukan saja membahayakan diri malah pengguna jalan raya lain.

“Jika berlaku kemalangan jalan raya, ia lebih menyukarkan keadaan terutama apabila mereka tidak dilindungi insurans.

“Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak yang tidak memiliki lesen memandu sah menggunakan kenderaan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 1:11pm
d