mutakhir

Dijel 20 bulan kerana pecah rumah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana memecah masuk sebuah rumah Ogos lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Azlan Shafiee, 22, dari Batu Enam, Jalan Kelantan di sini mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk rumah sebuah rumah di Taman Sri Wakaf Baru, Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, jam 3.15 pagi pada 30 Ogos 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, lelaki berusia 26 tahun (pengadu) yang berada di rumah terdengar bunyi seperti pinggan pecah di dapur lalu membuat pemeriksaan.

Mangsa kemudian mendapati tingkap dapur terbuka sebelum ternampak tertuduh ingin mengambil sesuatu.

Mangsa menangkap tertuduh dan menghubungi polis sebelum menyerahkan tertuduh kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 2:10pm
d