mutakhir

'Makan besar' terbantut

Oleh Mohd Roji Kawi

KEMERIAHAN sambutan Tahun Baharu Cina esok bertukar suram buat lapan pemilik premis perniagaan di pekan Spaoh, Betong apabila deretan kedai itu musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika semua peniaga sibuk membuat persiapan untuk majlis ‘makan besar’ malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.

Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dibantu 10 anggota dari BBP Saratok dikejarkan ke lokasi sebaik saja menerima panggilan itu.

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sudah memusnahkan keseluruhan lapan kedai lama berstruktur kayu itu.

“Api marak dengan cepat memusnahkan deretan kedai itu dan anggota bertindak mengawal api daripada merebak ke blok berdekatan.

“Tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian serta mentaksir jumlah kerugian,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 5:53pm
d